94 kolam ternakan udang harimau akan diwujudkan di Loba Stoh, Rambungan

Kelihatan Dr Rundi (kemeja biru) pada lawatan ke kolam ternakan udang harimau di Loba Stoh, Rambungan.

KUCHING, 23 Mac: Sebanyak 94 lagi kolam baharu akan diwujudkan di kawasan seluas 284 hektar di Loba Stoh bagi tujuan ternakan udang harimau.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama bersama Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Sea Horse Corporation serta bakal mengembangkan busines ternakan udang harimau di kawasan Zon Industri Akuakultur Rambungan.

Terdahulu syarikat Sea Horse Corporation memiliki 21 kolam di Loba Stoh di kawasan berkeluasan 40 hektar.


Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, pembangunan sektor industri akuakultur di Sarawak sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan agar dapat memenuhi pasaran tempatan dan eksport.

Katanya, kementerian komited dalam memastikan projek-projek pembangunan berkaitan industri tersebut dilaksanakan secara efektif.

Beliau pada hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke kolam ternakan udang harimau milik syarikat Sea Horse Marine Life Sdn Bhd di Loba Stoh, Rambungan.

Pada lawatan itu, Dr Rundi mengadakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh mengenai potensi projek akuakultur bagi merangka strategi-strategi yang lebih efektif untuk membangunkan kawasan tersebut.

“Syarikat ini telah menyahut seruan kerajaan Negeri untuk mengguna pakai kaedah ‘Internet of Things’ (IoT) dan automasi di dalam pengurusan kolamnya.

“Dengan pelaburan awal sebanyak RM1.2 juta, ternakan udang harimau secara digital ini membantu syarikat mencapai peningkatan pengeluaran sebanyak 30 peratus.

“Projek ternakan pintar merangkumi ‘smart feeder’, ‘smart weather’, ‘smart paddle wheel’, ‘smart board’, ‘smart night duty’ dan ‘smart cam’,” kata pengurus Sea Horse Marine Life Sdn Bhd Sim Ing Jye pada sesi taklimat.

Tambah Sim lagi, kerjasama bersama PPNS ini akan mewujudkan 80 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan 100 peluang pekerjaan lagi di kilang pemproses di Bintawa.

Sim meramalkan pengeluaran setahun ialah 1,100 tan dengan nilai ekspot RM20 juta.

Selesai sesi taklimat tersebut, Dr Rundi kemudiannya melawat kolam ternakan ketam bakau yang diusahakan syarikat Ginger & Coconut Sdn Bhd di kawasan yang sama.

Hadir sama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Martin Ben. — DayakDaily