Kerajaan Sarawak galak pertumbuhan dan pembangunan industri tempatan

Dr Rundi ketika ditemui di Singapura. Foto: Ukas

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 24 April: Kerajaan Sarawak terus komited dalam menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan industri tempatan, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Rundi berkata, inisiatif diambil untuk melihat sendiri proses hiliran yang sedia ada dalam perniagaan pemasaran produk.


Katanya, isu bekalan bahan mentah yang tidak mencukupi yang mungkin menghalang kemajuan industri pemasaran dan pemprosesan amat membimbangkan.

“Saya datang ke sini atas inisiatif sendiri. Saya ingin melihat proses hiliran yang sedia ada untuk kita memasarkan produk.

“Sekarang saya faham bahawa ramai yang minat pemasaran, pemprosesan dan sebagainya, namun kita perlukan rantaian bekalan yang lengkap.

“Kalau mereka mempunyai keinginan untuk membuat pemasaran tetapi bekalan bahan mentah tidak mencukupi itu akan menjadi masalah,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Sarawak Pavilion di Food and Hotel Asia (FHA)—Food & Beverage (F&B) 2024 di Singapura, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Rundi menyarankan agar Jabatan Pertanian Sarawak menjalankan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti individu atau kumpulan yang berminat dalam pemprosesan dan pemasaran serta keperluan mereka.

Dengan penekanan terhadap kelestarian, pihaknya akan menganjurkan seminar atau persidangan di Kuching dalam masa terdekat melibatkan semua pihak berkaitan untuk menyumbang idea mahupun penyelesaian yang inovatif berkenaan perkara tersebut.

Tambah beliau, ia diyakini dapat meningkatkan pencapaian industri tempatan sekali gus meluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat global.

“Tujuan saya adalah untuk memastikan produk tempatan boleh mencapai gred perindustrian bagi memastikan kemampanan dan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun pelbagai produk seperti kelapa, pisang, nanas dan durian telah dikenal pasti, namun, sehingga hari ini kita masih belum mencapai peringkat industri.

“Jadi, sekarang kita melihat dari segi keselamatan makanan, beras, padi dan sebagainya, untuk itu ekonomi skala perlu ada.

“Saya benar-benar berharap agar kita akan memiliki satu industri untuk produk-produk yang sedia ada,”jelasnya lagi. — DayakDaily