93.63 peratus guru SeDidik miliki sekurang-kurangnya diploma menjelang akhir 2022

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 30 Nov: Menjelang akhir 2022, sejumlah 93.63 peratus guru SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, setakat hari ini jumlah pendidik adalah seramai 157 orang dengan 11 orang, iaitu bersamaan 7 peratus, mempunyai Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Manakala 96 orang iaitu bersamaan 61.14 peratus memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.


“Sementara itu, 40 orang (25.48 peratus) akan tamat pengajian pada penghujung tahun ini.

“Selebihnya iaitu seramai 10 orang bersamaan 6.37 peratus termasuk lima orang pendidik Penan di kawasan Apoh-Tutoh sedang mengikuti pengajian dan dijangka tamat pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Fatimah, kementeriannya mensasarkan 100 peratus guru SeDidik memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025.

Katanya, ia diusahakan melalui kolaborasi dengan Universiti Terbuka Malaysia, Pusat Perkembangan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej SIDMA Sarawak.

Dari aspek kurikulum, ujar Fatimah, selain menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum PERMATA Negara, SeDidik juga melaksanakan Program Tambah Nilai dan Program Niche sebagai pendekatan yang holistik.

“Tambahan kepada program sedia ada, pada tahun 2022, kementerian telah memperkenalkan Program Pendidikan Inklusif, Program Bahasa Isyarat, Kinder Environment dan Thiflun Madaniyy,” kata Fatimah. — DayakDaily