810 keping kayu bergergaji bernilai RM160,000 dirampas

Kelihatan kayu bergergaji yang dirampas oleh PPM Wilayah 5 Sarawak

BINTULU, Julai 11: Sejumlah 810 keping kayu bergergaji pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai RM160,000 berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak dalam satu serbuan di kilang kayu di Jalan Bintulu-Miri di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Acp Salehuddin Mat Zaman, berkata rampasan itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kayu bergergaji itu tidak mempunyai dokumen yang sah daripada Jabatan Hutan Sarawak.

Katanya, serbuan dan rampasan yang dilakukan pada pukul 3.30 petang itu adalah hasil makulmat awam dan risikan yang dijalankan sejak minggu lalu.


“Semasa serbuan itu dilakukan, seorang pekerja warga Indonesia turut diberkas kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen sah daripada pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua kayu bergergaji tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah daripada Jabatan Hutan Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salehuddin memberitahu, berikutan ketiadaan dokumen berkaitan, pemilik kilang kayu bergergaji berkenaan disyaki cuba mengelak cukai.

Katanya, turut ditemui semasa operasi tersebut dilakukan adalah mesin memotong kayu serta peralatan yang lain.

“Rampasan itu dilakukan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015 dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily