8 premis judi dalam talian dipotong bekalan elektrik di Padawan

Operasi berterusan oleh pihak polis dan SEB.

KUCHING, 29 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bertindak memotong bekalan elektrik di lapan buah premis perniagaan yang dijadikan pusat pengoperasian judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) sekitar jam 10.20 pagi sehingga jam 12.15 tengah hari hari ini.

Katanya, tindakan tersebut dilakukan berdasarkan kepada undang-undang sedia ada mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).


“Justeru mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan elektrik tidak boleh disambungkan semula tanpa kebenaran bertulis daripada ketua polis daerah.

“Tujuan pelaksanaan undang-undang ini adalah bagi mengekang kegiatan perjudian di Daerah Padawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi akan dipertingkatkan dalam usaha menggempur kegiatan yang merugikan rakyat dan negara ini.

Dari Januari sehingga hari ini, sebanyak 151 serbuan ke atas premis disyaki menganjurkan semua jenis perjudian telah berjaya dilakukan.

“Operasi berterusan bagi membasmi kegiatan berunsur perjudian di daerah ini dengan harapan agar aktiviti ini dapat dibanteras secara total,” katanya. — DayakDaily