8 NGO bantah pembentangan Rang Undang-Undang Syariah baharu

Pemimpin lapan NGO Sarawak.

KUCHING, 14 Sept: Lapan persatuan bukan kerajaan (NGO) Sarawak membantah sekerasnya pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) yang akan menghalang kebebasan beragama di negara ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, semua pemimpin NGO tersebut meluahkan kebimbangan berkenaan usaha kerajaan memperkenalkan 11 rang undang-undang syariah baru, termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Katanya, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkenaan pada persidangan Parlimen yang bermula semalam.


“Kita gabungan NGO, menentang dan membantah keras pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) yang akan menghalang kebebasan beragama di negara ini.

“Undang-undang ini akan memberi kesan atau menjejaskan kebebasan beragama bagi masyarakat bukan Islam,” katanya,

Lapan NGO tersebut ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) yang
diwakili pengasasnya Wellie Henry Majang, Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) diwakili Paul Raja sebagai presiden dan Persatuan Iban Sarawak (PAIS)diwakili presidennya Samuel Suring

Lima yang lain ialah Setiausaha Persatuan SADIA (Miri) Rafael Dru, Presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem, Setiausaha Agung Persatuan Balang Balai Nyabung ( BBN) Dr John Brian, Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew dan Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara(PERASA) Robert Umping.

Kenyataan itu juga berkata, kebebasan beragama di Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia.

Katanya, ia merupakan satu prinsip yang mana memberikan kebebasan kepada individu atau komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.

“Kebebasan beragama ini dikira sebagai salah satu hak asasi yang fundamental kepada manusia sejagat.

“Di Malaysia, biarpun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, penganut-penganut agama lain masih lagi bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.

“Hal kebebasan beragama ini diperuntukkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, kesemua pemimpin ini menggesa kerajaan untuk mengekalkan struktur sistem perundangan sedia ada yang diwujudkan sebelum ini.

Jelas mereka, ia diwujudkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, yang menyokong kebebasan untuk semua kaum, agama dan latar belakang masyarakat. — DayakDaily