794 batang kayu balak haram dirampas

Kelihatan longgokan kayu balak haram yang dirampas pihak berkuasa.

KAPIT, Ogos 13: Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak serta Pasukan Polis Marin berjaya merampas 794 batang kayu balak haram pelbagai saiz dan spesies menerusi serbuan di Baleh, Kapit baru-baru ini.

SFC dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, pelbagai peralatan seperti jengkaut, traktor dan lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pembalakan haram itu turut dirampas.

Kata SFC, operasi yang dilakukan mulai Ogos 7 hingga 10 lepas adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.

“Bagaimanapun, ketika serbuan tiada tangkapan dilakukan dan siasatan awal mendapati balak-balak yang ditebang itu tidak mengikut syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Nilai rampasan balak dan peralatan membalak itu masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan selesai dilaksanakan,” kata SFC dalam satu kenyataan hari ini.

SFC menambah, siasatan awal mendapati kesemua kayu balak itu dipercayai baharu ditebang dan dilonggokkan di pusat pengumpulan kayu di situ sebelum ia dipunggah.

Jelas SFC, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada JHS iaitu pada bahagian pangkal dan hujung kayu balak terbabit.

“Kes itu disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015 dan jika didapati bersalah pembalak haram boleh dikenakan hukuman penjara mandatori dan denda bagi setiap kesalahan,” kata SFC.

Peruntukan baharu itu juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan pembalak membayar royalti, premium dan cukai tidak kurang 10 kali ganda nilai balak haram kepada kerajaan negeri. — DayakDaily