Tiada asas di sebalik dakwaan Bersatu sudah ada 30,000 ahli di Sarawak, kata Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, Ogos 13: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memandang serius dakwaan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan parti tersebut sudah mempunyai 30,000 ahli di Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman, dakwaan tersebut tiada bukti sebab tiada orang yang tahu kesahihannya.

“Ianya sama seperti kes dakwaan bahawa Bersatu mempunyai 30,000 ahli tetapi sejauh mana kebenaranya, tiada siapa yang tahu.


“Akan tetapi, kami pihak GPS memandang serius dakwaan tersebut walaupun ahli Bersatu mungkin hanya seorang sahaja ataupun 30,000 orang. Bagi kami, jika ianya melibatkan rakyat, tiada perkara yang dapat kita ambil secara remeh.

“Jika ada rakyat yang menyokong parti lain dan bukan GPS, maka kami akan muhasabah diri dan memperbaiki segala kekurangan demi untuk memberi khidmat yang terbaik dan kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka,” kata Fazzrudin dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, GPS yakin bahawa rakyat masih lagi menyokong parti tersebut terutama bila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri telahpun turun padang dan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur asas penduduk di luar bandar.

“Walaupun banyak suara-suara menyoal kenapa baru sekarang hendak menyelesaikan perkara ini, tetapi, yang lebih penting, pimpinan kita mendengar pandangan dan ikhlas dalam menyelesaikan perkara ini sekarang. Kita tidak mahu hanya memberi alasan kenapa ianya tidak dilaksanakan,” jelas beliau.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong berkata, secara peribadi dan sebagai pimpinan muda, beliau mengaku ianya tidak dilaksanakan dengan baik sebelum ini disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah masyarakat kita yang terjejas mahu perkara ini diselesaikan dan bukan hanya mendengar alasan kenapa ianya tidak dilaksanakan.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan GPS. Kami, di peringkat pemuda telah berjanji untuk memantau dan “to hold the implementing agencies to account” jika tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” tambah beliau. — DayakDaily