1.9 Juta Ekar Tanah NCR Telah Disukat

KUCHING: Seluas 1.9 ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini telah diukur sejak Oktober 2010 sehingga 30 April tahun ini membabitkan 480 kawasan menerusi inisiatif baharu setelah enam tahun dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, 402 kawasan seluas 1.53 juta ekar diwartakan sebagai Rizab Komunal (Pertanian) Bumiputera di seluruh negeri Sarawak.

“Sebelum inisiatif baharu diperkenalkan, hanya 642473.992 ekar tanah NCR berjaya diukur sejak tahun 1960-an kerana memakan masa yang lama,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, program pengukuran tanah NCR inisiatif baharu dilaksanakan melalui dua peringkat.

“Pada peringkat pertama, pengukuran secara perimeter dilaksanakan untuk mengasingkan tanah NCR yang sahih daripada tanah kerajaan.

“Kawasan tanah NCR yang siap diukur perimeter kemudiannya diwartakan sebagai Rizab Komunal (Pertanian) Bumiputera di bawah Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri,” katanya.

Katanya, di peringkat kedua pula, kawasan yang telah diwartakan akan diukur secara lot individu untuk dikeluarkan surat hak milik tanah individu di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri.

“Setakat ini pula, sebanyak 8,749 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 22387.5 ekar sejak tahun 2013.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,989 lot seluas 9602.5 ekar telah dikeluarkan dengan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” tambahnya.