67 batang kayu bergergaji haram dirampas

Anggota SFC memeriksa kayu bergergaji yang dirampas.

SIBU, Jan 12: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya mengagalkan cubaan menjual 67 batang kayu bergergaji yang diperoleh secara haram menerusi satu serbuan di sebuah lokasi pembalakan di Sungai Kijang, Ulu Mador, Bintangor di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, hasil maklumat awam dan risikan lanjut yang dilakukan pihaknya, lokasi pembalakan haram tersebut berjaya dikesan.

Menurutnya, susulan risikan itu, satu operasi bersepadu telah dilancarkan oleh pegawai SFC dari Pejabat Wilayah Sibu bersama Jabatan Hutan Sarawak.

“Semasa serbuan tersebut, pasukan penguatkuasa telah berjaya menemui 67 batang kayu bergergaji yang dipercayai diperoleh daripada kayu balak yang ditebang secara haram dari hutan berhampiran sungai di situ.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang cop rasmi daripada Jabatan Hutan Sarawak yang membenarkan kayu balak tersebut ditebang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, laporan polis berhubung rampasan itu sudah dibuat di Balai Polis Bintagor.

Jelasnya, kayu bergergaji yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Hasil kejayaan itu, lebih banyak operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini akan dilakukan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily