Pemuda BN Sarawak ikrar beri sokongan padu kepada Abang Johari

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, Jan 12: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg sempena genap setahun beliau menerajui kepimpinan negeri Sarawak, esok (Jan 13).

Pengerusi Pemuda BN Sarawak merangkap Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam tempoh setahun kepimpinannya sebagai Ketua Menteri, Abang Johari telah melakukan banyak perkara demi negeri dan rakyat Sarawak.

Menurut beliau, selaku ‘kapten baru Team Tok Nan’, Abang Johari telah meneruskan semua dasar dan janji yang dibuat oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem semasa memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRK-11) termasuk rundingan berhubung penurunan kuasa dengan kerajaan persekutuan demi menuntuk kembali hak Sarawak.


“Malah kerajaan negeri pimpinan beliau telah menghantar satu rombongan ke London untuk meneliti fail dan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak negeri Sarawak ketika ditadbir oleh kerajaan British.

“Ketua Menteri Sarawak keenam itu juga telah memperkenalkan dasar baru demi memacu kemajuan negeri Sarawak dengan memperkenalkan ekonomi digital, yang telah disambut baik khususnya oleh golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Fadillah memberitahu, pendekatan Abang Johari juga diyakini mampu membawa Sarawak pergi lebih jauh ke arah menjadi negeri maju dan berjaya di Malaysia.

“Pergerakan Pemuda BN dengan ini mengulangi ikrar akan terus memberi sokongan padu dan akan membantu Ketua Menteri untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik untuk semua,” ujarnya lagi. — DayakDaily