58.75 peratus pendidik miliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Mei: Sejumlah 58.75 peratus, iaitu bersamaan 84 daripada 143 pendidik mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak setakat 30 April 2022.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, ia adalah salah satu fokus utama dalam pembangunan awal kanak-kanak dengan mengutamakan kualiti pendidik dan pengasuh khasnya untuk SeDidik.


“Sejumlah 4 peratus atau 48 orang akan tamat pengajian pada 2022, manakala 1.7 peratus (3 orang) sedang mengikuti pengajian.

“Kementerian mensasarkan 100 peratus guru SeDidik memiliki sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang tahun 2025 melalui kolaborasi bersama intitusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan beliau semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN hari ini.

Tambah Fatimah, usaha untuk terus meningkatkan kualiti pendidik dan pengasuh tidak hanya berfokus kepada SeDidik semata-mata.

Katanya, pihak kementerian juga menganjurkan program pembangunan profesionalisme berterusan pada setiap tahun yang melibatkan pendidik dan pengasuh dari semua agensi.

“Pada tahun 2021, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, kementerian telah berjaya melaksanakan 12 kursus, latihan dan bengkel secara atas talian yang telah memberi manfaat kepada 3,512 pendidik dan pengasuh seluruh Sarawak.

“Kita menyeru agar semua agensi mengambil inisiatif yang sama bagi meningkatkan kualiti guru serta pengasuh agar kualiti asuhan, bimbingan dan didikan terus dipertingkatkan setanding dengan negara-negara maju,” kata Fatimah. — DayakDaily