EFF peruntukan RM65.5 juta setakat 31 Mac 2022 — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Mei: Endowment Fund Sarawak (EFS) telah memberi manfaat kepada 65,482 orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM65.5 juta setakat 31 Mac 2022.

Penyediaan EFS adalah dalam bentuk simpanan sebanyak RM1,000 bagi setiap kelahiran anak Sarawak semenjak 2019.


Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, bantuan melambangkan pengiktirafan kerajaan Sarawak tentang pentingnya ketibaan ahli baharu dalam keluarga.

Katanya, ia seperti juga bantuan tanda penghargaan yang diberi kepada ibu-ibu bersalin melalui program Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang diperkenalkan tahun 2020.

“Kedua-dua bantuan ini merupakan inisiatif jangka pendek dan jangka panjang yang diyakini dapat membantu keluarga yang terlibat.

“Setakat 31 Mac 2022, EFS telah memberi manfaat kepada 65,482 orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM65.5 juta sementara seramai 42,219 ibu telah menerima inisiatif yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM19 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan beliau semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN hari ini.

Fatimah turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memperkenalkan dua lagi inisiatif baharu perlindungan sosial, iaitu Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP) mulai April 2020 dan Bantuan Perubatan (BP) sejak Oktober 2021.

Katanya, BPBP telah diberi kepada seramai 130 orang pesakit buah pinggang yang memenuhi kriteria dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM2.4 juta.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sejumlah RM249,000 bagi pembelian enam unit mesin hemodialisis yang ditempatkan di Pusat Jantung Sarawak (2), Hospital Marudi (1), Hospital Saratok (1), Hospital Dalat (1) dan Hospital Sarikei (1),” katanya.

Manakala bagi bantuan perubatan tambah Fatimah, seramai sembilan orang pesakit telah menerima bantuan ini sejak Oktober 2021 dengan melibatkan perbelanjaan sejumlah RM432,429.

“Bantuan ini adalah untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perubatan bagi apa-apa jenis penyakit yang telah diberi diagnosis oleh Pegawai Perubatan Kerajaan untuk rawatan segera.

“Bantuan ini bersifat “one-off” yang merangkumi kos pembedahan dan implan, pembelian peralatan perubatan, ubat-ubatan serta lain-lain bantuan yang wajar bagi tujuan rawatan, pemulihan dan penyembuhan,” ujarnya. — DayakDaily