5,469 KIR setinggan berjaya dapat kediaman sejak 2010

Dr Sim (duduk tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat JPPSN Sarawak di Kuching.

KUCHING, 19 Nov: Sejumlah 5,469 daripada 9,760 ketua isi rumah (KIR) setinggan yang didaftarkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan dan Penyelesaian Setinggan Negeri (JPPSN) Sarawak berjaya mendapat kediaman tetap sejak 2010.

Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata baru-baru ini kerajaan juga turut meluluskan tempat penempatan kepada 1,478 KIR setinggan manakala baki 2,813 KIR lagi masih dalam kajian penyelesaian.

“Kerajaan akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian kepada baki setinggan tersebut dari masa ke masa agar isu-isu khususnya berkaitan pencerobohan tanah milik kerajaan dan tanah berhak milik dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 209 Kanun Tanah Negeri (BAB 81).

Masyarakat dalam pada itu dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei bagi tujuan pengesahan status tanah untuk mengelakkan implikasi yang berkaitan daripada berlaku.

“Kita berharap dan menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama dalam usaha kita menangani isu setinggan dan juga pencerobohan tanah kerajaan yang berlaku di negeri ini.

“Kerajaan menerusi jawatankuasa ini juga bersetuju mengkaji semula strategi yang terbaik dalam menangani isu setinggan di Sarawak,” jelas beliau.

Sementara itu Dr Sim berkata, sebanyak 935 unit rumah Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Perumahan, Sarawak (HDC) masih kosong terbuka untuk permohonan termasuk ketua isi rumah setinggan yang berdaftar dengan JPPSN. –DayakDaily