4,000 permohonan subsidi tiket terbang pelajar sempena musim perayaan diterima setakat ini

Fazzrudin (tiga dari kanan) bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua dari kanan) bergambar dengan orang ramai yang mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri N.6 Tupong di DBP)Sarawak, Petra Jaya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, Jun 9: Setakat ini lebih 4,000 pelajar anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan telah memohon subsidi membeli tiket terbang sebanyak RM300 seorang dari kerajaan Sarawak bagi pulang ke Sarawak ketika musim perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata demikian dengan lebih 3,000 permohonan tersebut telahpun diluluskan setakat ini manakala seramai 2,900 pelajar sudah menerima subsidi itu.

“Ketika ini permohon subsidi berjalan lancar. Saya tidak pasti (jumlah keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan Sarawak) tetapi sebelum bulan puasa lepas, kerajaan Sarawak telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk memberikan subsidi terbabit kepada pelajar kita,” katanya ketika ditemui semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri N.6 Tupong di Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Subsidi berkenaan mula dipohon pelajar pada perayaan Tahun Baru Cina yang lepas dan boleh dipohon dua kali setahun dengan maklumat mengenai subsidi dan permohonannya secara atas talian boleh didapati di laman Facebook Sarawak Volunteers.

Fazzrudin yang juga penasihat Sarawak Volunteers berkata permohonan subsidi terbabit hanya ada mengalami sedikit masalah sebelum ini iaitu ada segelintir pemohonnya telah memberikan nombor akaun bank yang salah atau meletakkan nama pelajar sendiri sebagai orang yang boleh dihubungi.

“Berlaku juga kes dimana pelajar memaklumkan ibu bapa yang mereka sudah memohon subsidi itu tetapi ibu bapa kemudian mendapati permohonan itu tidak diterima sekretariat kami. Selepas disiasat didapati pelajar sebenarnya belum membuat permohonan terbabit,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan institusi pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan memberikan senarai pelajar anak Sarawak terkini masing-masing kepada pihak Sarawak Volunteers bagi memudahkan mereka memproses permohonan subsidi itu seperti dilakukan satu pusat matrikulasi di Labuan.

Katanya ini kerana pemohon subsidi itu juga perlu menyertakan surat yang mengesahkan mereka adalah pelajar di institusi pengajian tinggi masing-masing dan proses mendapatkan surat terbabit didapati agak mengambil masa. — DayakDaily