Penduduk Bandar Kuching dipelawa mengemukakan soalan untuk sesi Parlimen akan datang

Poster mempelawa penduduk kawasan Parlimen Bandar Kuching menghantar soalan mereka kepada Dr Yii bagi dibangkitkannya kepada menteri di Parlimen, yang disiarkan dalam laman Facebook Dr Yii.

KUCHING, Jun 9: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen mempelawa penduduk di kawasan yang diwakilinya supaya mengemukakan soalan mereka kepada menteri bagi disampaikannya pada sesi Parlimen dijadualkan bermula Julai 1 depan.

“Saya mahu mempelawa kamu (penduduk kawasan Parlimen Bandar Kuching) semua untuk menghantar sebahagian soalan kamu yang kamu mahu saya bangkitkan di Parlimen bagi dijawab menteri,” katanya dalam laman Facebooknya semalam.

Dr Yii berkata ini kerana adalah menjadi tanggungjawab dan tugasnya untuk menyampaikan suara rakyat di kawasan Bandar Kuching ke Parlimen samada dalam bentuk soalan atau isu ketika sesi Waktu Soalan Kementerian (MQT), Waktu Soalan Lisan ataupun yang lain.


“Sila hantar (soalan) sebelum jam 12 tengahari, Jun 14, 2019. Saya akan melihat semua soalan terbabit dan akan cuba sebaik mungkin membangkitkannya sebanyak yang boleh ketika sesi itu,” katanya.

Menurutnya, soalan boleh dihantar ke email kelvinyiidap@gmail.com dan beliau berazam menjadi rakan kepada penduduk kawasan Bandar Kuching dalam membawa suara mereka ke dewan Parlimen. — DayakDaily