36 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kg Lubok Punggur dipindahkan

Kerja-kerja pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur sedang giat dilakukan.

KUCHING, 15 Mac: Sebanyak 36 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Bunting hari ini.

Menurut Wakil Khas Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais dalam satu kenyataan hari ini, ini berikutan kesemua kubur tersebut yang bersebelahan Sungai Batang Sadong terkesan akibat hakisan tanah.

“Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur ini telah digunakan oleh penduduk Islam di sekitar zon Pangkor sejak dari tahun 1950-an dahulu.


“Namun ianya mula terjejas oleh hakisan air Sungai Batang Sadong sejak beberapa tahun dahulu dan ini menjuruskan usaha untuk mencari tapak tanah perkuburan yang baharu,” kata Naroden.

Tanah Perkuburan Islam Lubuk Bunting seluas lebih kurang empat ekar digunakan oleh penduduk Islam di sekitar zon Pangkor.

Dalam pada itu, Naroden memaklumkan bahawa sesi pemindahan kubur-kubur tersebut dikendalikan oleh Ustaz Wan Asagaf dari Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) Samarahan.

“Ini bermula dengan pengalian kubur, pembersihan jenazah dalam kain kapan sebelum dikebumikan semula dibawa dan dikuburkan ke tapak perkuburan yang baharu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Pemindahan Kubur Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Punggur turut memohon peruntukan sebanyak RM50,000 dari ADUN Gedong yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Opneg bagi kos keseluruhan operasi pemindahan kubur berkenaan. — DayakDaily