358 ditangkap dalam tempoh tiga hari di Sarawak, disyaki terlibat dalam kegiatan dadah

Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.

KUCHING, 4 Ogos: Seramai 358 individu ditahan menerusi Operasi Tapis Khas melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dijalankan dari 27 hingga 29 Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata antara yang ditangkap termasuklah empat orang tokan dadah dan lapan lagi penagih tegar.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 330 lelaki dan 28 wanita berusia 17 hingga 59 tahun.


“Dalam operasi kali ini, kita telah mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas pemandu kenderaan awam, khususnya bas express dan kenderaan persendirian.

“Sebanyak 158 serbuan dan pemeriksaan dilakukan, termasuk tiga sekatan jalan raya di Sibu, Serian serta Sarikei dan 155 lagi serbuan ke atas pelbagai tempat seperti kawasan perumahan, hutan dan kebun,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengenai tokan dadah, Azman memberitahu kesemuanya adalah lelaki warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala lapan orang penagih tegar yang ditangkap, disiasat di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” katanya.

Dedahnya, semua yang ditangkap disahkan positif pelbagai jenis dadah.

Menurutnya juga, sejumlah 34 pokok ganja berjaya dirampas menjadikan ia rampasan pokok ganja terbesar setakat ini di Sarawak.

Turut dirampas ialah dadah jenis syabu seberat 131.47 gram, ganja (1.85 gram) dan 1.5 liter air ketum.

“Rampasan tertinggi dilakukan di Sibu iaitu RM56,420, diikuti Kuching sebanyak RM4,970 dan Miri (RM4,576),” katanya

Polis Sarawak akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah.

“Kita akan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka dibanteras habis-habisan,” katanya.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sidang media tersebut turut disertai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah. — DayakDaily