32 pusat operasi judi dalam talian digempur sejak Jun 2021 oleh IPD Kuching

Ahsmon semasa menyertai operasi memotong bekalan elektrik tersebut hari ini.

KUCHING, 11 Feb: Sebanyak 32 buah premis yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian dipotong bekalan elektriknya sejak Jun 2021 hingga awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sebanyak 28 premis telah dipotong bekalan elektrik sebelum ini, manakala sembilan lagi dipotong bekalan hari ini.

Katanya lokasi premis tersebut terletak di sekitar Kuching iaitu di Jalan Song, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Foochow, Jalan Hui Sing dan kawasan Tabuan.


“Sekiranya pemilik premis ingin menyambung semula bekalan elektrik, permohonan perlu dikemukan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Dan sekiranya didapati masih ada elemen-elemen kegiatan perjudian, kita tidak akan sambung,” katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi tersebut di Jalan Song, di sini hari ini.

Tindakan pemotongan bekalan elektrik ini dijalankan mengikut kuasa di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, seramai 48 individu terdiri dari warga tempatan dan warga asing yang terdiri daripada operator dan penganjur telah ditangkap dalam serbuan yang dijalankan pada Januari lalu.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily