Seorang daripada dua mangsa kapal karam ditemui mati di Sungai Batang Serding

Mayat mangsa dibawa ke darat untuk diserahkan kepada polis.

TANJUNG MANIS, 11 Feb: Seorang daripada dua mangsa kapal karam di Sungai Batang Serding, di sini yang dilaporkan hilang telah ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa yang dibelum dikenalpasti identitinya itu ditemui di Sungai Ipar Semop kira-kira jam 5.30 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 2 petang dengan pencarian diperluaskan dalam radius 7 kilometer ke hulu dan hilir sungai.


“Pada jam 5.30 petang, mayat mangsa pertama ditemui di Sungai Ipar Semop dan kemudian di bawa ke Jeti Kampung Sedau untuk diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sarikei untuk pengecaman pihak keluarga.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor gelap.

Sementara seorang lagi juragan dikenali sebagai Rosman Bakar dari Kampung Paloh, Sarikei masih belum ditemui.

Pada tengah malam Rabu lepas, sebuah kapal yang sedang membawa muatan sebuah jengkaut itu dilaporkan karam bersama-sama seorang juragan dan dua anak kapal.

Bagaimanapun seorang daripada mangsa yang berusia 66 tahun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung selepas dilihat terkapai-kapai di dalam sungai sekitar jam 8.30 pagi Khamis. — DayakDaily