30 kanak-kanak berbuka puasa bersama RTM, Merdeka Palace

Kakitangan RTM Kuching dan Merdeka Palace Hotel & Suites yang menyertai Program Syoknye Raya di hotel tersebut di Kuching.

KUCHING, Mei 26: Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching bersama Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) telah mengadakan Program Syoknye Raya iaitu berbuka puasa bersama seramai 30 kanak-kanak kurang bernasib baik di Dewan Muhibah hotel terbabit, di sini, hari ini.

Kanak-kanak terbabit berusia tujuh hingga 12 tahun dari sekolah sekitar Kuching yang kebanyakkanya yatim piatu dan sebahagian dari keluarga miskin, telah berbuka puasa bersama guru mereka di program terbabit.

MPHS juga memberikan sumbangan duit raya dan bungkusan hadiah kepada kanak-kanak terbabit sebelum berbuka puasa yang disampaikan Pengarah Operasinya, Andrew Fernandez sebagai merasmikan program itu.

Program kemudian dimeriahkan dengan menampilkan persembahan hiburan artis tempatan termasuk pemenang Bintang P.Ramlee dan Bintang Klasik iaitu Shatila Kamil, Halim Hishamuddin dan Abu Zaid Ibrahim serta kumpulan nasyid Munawwir, wakil dari Co-Op Bank Sdn Bhd dan penyampai radio SARAWAKfm.

Objektif utama program Syoknye Raya adalah untuk menjadikan radio SARAWAKfm di RTM Kuching lebih dekat dan mesra dengan pendengar. Program telah juga dijayakan bersama penaja lain temasuk Co-Op Bank Persatuan, McDonald Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Aaz Puncak Pinacle dan Mirna’s Cookies. — DayakDaily