PKR Sarawak minta RTM untuk kembalikan siaran “Pengingat Tuai”

Datuk Larry Sng

KUCHING, Mei 31: PKR Sarawak meminta rancangan “Pengingat Tuai” yang disiarkan stesen radio RTM dan popular dikalangan kaum Iban dikembalikan.

Menurut pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Larry Sng Wei Shien, selain menjadi sumber hiburan yang sangat popular, rancangan tersebut merupakan sejarah lisan kaum Iban dan sumber pengetahuan kepada golongan muda bagi memulihara kebudayaan yang diancam kepupusan.

“Pengingat Tuai dalam Wai FM harus dipulihkan kembali. Pengguguran rancangan yang sangat popular ini amat mengecewakan kaum Dayak terutama Iban,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dilaman Facebooknya.


Pihaknya berikutan itu menyeru pihak kerajaan memberi perhatian yang wajar bagi mengimbangi liputan rancangan yang disiarkan untuk manfaat semua kaum di negara ini khasnya di Sarawak.

“Memandangkan banyak masa yang terluang, RTM dan media elektronik yang lain perlu menambah dan mempelbagaikan rancangan yang disiarkan,” tegas Sng.

Selain itu, beliau memerhatikan perayaan Gawai tahun 2020 akan disambut dalam suasana yang agak berbeza daripada kebiasaannya disebabkan peraturan yang ditetap dalam aturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mewajibkan penjarakan sosial.

“Walaupun terasa janggal, namun kita harus terima kenyataan ini dengan disiplin yang tinggi supaya keselamatan dan kesihatan masyarakat kita kekal terjamin. Kebudayaan ramah mesra kaum Dayak harus dikekalkan dalam suasana berbeza,” tambahnya.

Menurut Sng, perhubungan melalui kemudahan atas talian dan kemudahan teknologi maklumat (IT) akan digunakan untuk meneruskan hubungan sesama keluarga dan rakan taulan, dan hanya perlu ada sedikit penyesuaian. — DayakDaily