29 majikan di Sarawak dihadapkan ke mahkamah setakat Jun ini

Logo Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

KUCHING, Ogos 7: Sebanyak 29 majikan telah dihadapkan ke mahkmah setakat Jun 30 lepas berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak.

Dalam satu kenyataan media, PERKESO Sarawak memberitahu, enam majikan telah dituduh mengikut Seksyen 101 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), iaitu gagal hadir dan mengemukakan dokumen sebagaimana yang diarahkan dalam saman PERKESO.

Seterusnya kata PERKESO Sarawak, tiga majikan lagi dituduh di bawah Seksyen 14A, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Peraturan 33, Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971 iaitu gagal menjelaskan bunga atas caruman tertunggak.


“Antara lain, 12 majikan telah dituduh mengikut Seksyen 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan 10 (3), Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971 iaitu gagal mendaftarkan perusahaan kepada PERKESO dalam tempoh ditetapkan.

“Manakala lapan lagi majikan dituduh di bawah Seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan 12 (1), Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971 iaitu gagal mendaftarkan pekerja bagi perusahaan PERKESO dalam tempoh yang dibenarkan,” kata PERKESO Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, PERKESO Sarawak memaklumkan, terdapat sebuah majikan yang juga pemilik kedai perkakasan dapur di Kota Samarahan telah didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Afidah Abdul Rahman memerintahkan hukuman itu ke atas pemilik kedai KKK Enterprise, Khiew Tok Pin, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap kesalahan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Khiew selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) iaitu gagal membayar PERKESO caruman pekerjanya sebanyak RM16.90 sebulan bagi tempoh September dan Oktober 2015. — DayakDaily