2,046 operasi memerangi judi haram dilancarkan setakat Oktober 

Petugas Sarawak Energy bersama anggota polis memotong bekalan elektrik di premis perjudian.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 2 Nov: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak telah melancarkan 2,046 operasi dalam usaha memerangi aktviti perjudian haram semenjak 1 Jan tahun ini.

Ketua JSJ negeri SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, daripada keseluruhan operasi berkenaan, sebanyak 1,985 operasi telah melibatkan penahanan 2,761 individu yang disyaki dengan perjudian haram.


Jelasnya, menerusi operasi sama, polis juga berjaya merampas sebanyak 669 peralatan perjudian serta wang tunai sebanyak RM760,347 dipercayai hasil jenayah berkenaan.

“Daripada semua operasi itu, sejumlah 489 serbuan dilakukan di premis judi dalam talian serta 1,383 serbuan melibatkan pusat perjudian nombor loteri haram.

“Polis juga melancarkan 23 serbuan di tempat judi terbuka, 33 operasi di tempat terbuka, 23 di gelanggang judi sabung ayam dan 34 operasi di premis pertaruhan haram,” katanya di sini hari ini.

Anggota polis menahan individu yang terlibat dalam perjudian haram.

Sementara itu, Denis memberitahu, pihak akan terus bekerjasama dengan pihak Sarawak Energy Bhd dalam usaha pihak berkuasa melumpuhkan aktiviti perjudian di negeri ini.

Katanya, mana-mana premis yang dipercayai menjalankan aktiviti judi haram akan dipotong bekalan elektrik bagi memastikan operator perjudian tidak beroperasi semula.

“Polis tidak mahu perkara seperti ini berulang iaitu ‘tangkap hari ini, esok beroperasi semula’. Setakat ini, sebanyak 138 premis yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram telah dipotong bekalan elektrik oleh Sarawak Energy,” katanya.

Tindakan memotong bekalan elektrik adalah mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily