Tujuh Ahli Parlimen Pakatan Harapan Sarawak sudah mengisytiharkan harta

Baru Bian

KUCHING, 2 Nov: Sekurangnya tujuh Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Sarawak sudah mengisytiharkan harta dan butiran harta mereka termasuk Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Laman portal pengistiharan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga jam 5 petang hari ini, mendedahkan Baru, yang merupakan Ahli Parlimen Selangau, bersama isterinya, mempunyai pendapatan RM83,736.48 sebulan.

Sebelum ini, Baru yang merupakan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, telah dilaporkan mempunyai pendapatan bulanan mencecah RM108,056 sebulan dan dilaporkan tertinggi di kalangan Ahli Parlimen di negara ini.

Bagaimanapun PKR Sarawak, di laman Facebook, menjelaskan Baru telah tersilap mengemukan elaun Ahli Parlimennya sebanyak dua kali dan telah memaklumkan SPRM serta menghantar penyata gaji untuk membuat pembetulan.

Gambar dari laman portal terbabit yang memaparkan pengisytiharan harta kalangan Ahli Parlimen Pakatan.

Antara yang sudah mengistiharkan harta mereka dan tersenarai dalam laman portal terbabit hari ini ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan isteri, yang mempunyai pendapatan RM26,450.00, serta Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong dan suami (RM28,700.00).


Seterusnya Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang (RM25,700.00), Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan isteri (RM59,065.39), Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew dan isteri (RM26,100) dan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu (RM41,700).

Keseluruhannya, seramai 94 Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan Pakatan telah dipaparkan laman terbabit kepada masyarakat.

Tindakan ini adalah keputusan kerajaan bagi membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.

Laman portal SPRM tersebut boleh di layari di mydeclaration.sprm.gov.my. — DayakDaily