1,380 kes kanak-kanak dianiaya dan diabai bagi tempoh 2016 hingga April 2022

Fatimah (duduk tengah) terima kunjungan hormat daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuching.

KUCHING, 13 Jun: Sebanyak 1,380 kes melibatkan kes kanak-kanak yang dianiaya dan diabai yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan bagi tempoh 2016 hingga April 2022.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perkhidmatan perlindungan, pemeliharaan, pemulihan dan pembangunan kepada kanak-kanak.

Katanya, kanak-kanak dilindungi daripada semua bahaya termasuk aspek penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi, dan ekploitasi.


“Ia sepertimana maksud Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 yang mana melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Fatimah berkata, daripada jumlah tersebut, 340 kes dicatatkan pada tahun 2016, 272 kes (2017), 101 kes (2018), 179 kes (2019), 197 kes (2020) dan 210 kes (2021).

Manakala sebanyak 81 kes dicatatkan dalam tempoh Januari hingga April 2022.

Bagi kes yang melibatkan akhlak dan jenayah kanak-kanak, Fatimah berkata ia mencatatkan sebanyak 2,295 kes bagi tempoh 2016 hingga Jun 2020.

Sebanyak 325 kes direkodkan pada 2021 manakala 78 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2022.

Sementara itu tambah Fatimah, kes kanak-kanak hamil luar nikah bagi tempoh 2016 hingga Jun 2020 adalah sebanyak 2,820 kes.

“Sebanyak 577 kes direkodkan pada tahun 2021 dan 122 kes pula direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2022,” ujar Fatimah. – DayakDaily