130 penghuni rumah pekerja balak tinggal sehelai sepinggang

Keadaan rumah pekerja yang musnah terbakar.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 15: Seramai 130 penghuni rumah pekerja kayu balak di Simpang Bakun dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman tersebut musnah terbakar petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.55 petang.

Jelas beliau, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian yang jarak perjalanannya adalah sejauh kira-kira 160 kilometer.

Difahamkan perjalanan ke tempat kejadian adalah kira-kira 2 jam 30 minit.

“Apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan tiga blok rumah pekerja kayu balak di situ.

“Kebakaran tersebut telah memusnahkan ketiga-tiga blok rumah pekerja tersebut, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’.

Mohamad menambah, siasatan awal mendapati blok pertama menempatkan 10 pintu, blok kedua (24) dan blok 3 (16).

Katanya, tindakan selanjutnya, pihak bomba membuat kerja-kerja ‘overhaul’ dan operasi telah tamat sepenuhnya pada pukul 8.45 malam.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam proses siasatan.

“Jentera bomba bertolak balik ke balai dan selamat tiba di BBP Bintulu pada pukul 12.10 tengah malam,” katanya. — DayakDaily