13 barangan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2018

Pegawai KPDNKK melakukan pemeriksaan harga di sebuah pasar raya. - gambar fail

KUCHING, Feb 6: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menyenaraikan 13 jenis barangan yang dikuatkuasakan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina ini.

Skim kawalan harga itu berkuat kuasa selama 12 hari mulai Feb 10 hingga 21, iaitu enam hari sebelum, satu hari semasa dan lima hari selepas sambutan perayaan tersebut yang akan jatuh pada Feb 16 dan 17.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara barangan yang tersenarai dalam skim kawalan harga itu ialah, ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

Tegas beliau, para peniaga diwajibkan menjual 13 barangan kawalan itu pada harga lebih rendah atau tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina ini membabitkan 91 daerah di semenanjung, Sarawak (32), Sabah (27), dan satu daerah di Labuan.

“Para peniaga wajib meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, pihaknya akan melaksanakan pemantauan agresif bagi melindungi pengguna daripada para peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil keuntungan secara berlebihan.

Katanya, para peniaga yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya.

“Individu terbabit turut boleh dikenakan kompaun hingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000 atau kompaun hingga RM250,000, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal, boleh didenda hingga RM10,000 atau kompaun hingga RM5,000 bagi individu.

“Manakala bagi syarikat, denda hingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000,” ujarnya lagi. — DayakDaily