Kerajaan luluskan pembelian 4,000 khemah mudah alih untuk Sarawak

Shahidan (berdiri empat dari kiri) bersama Uggah (berdiri enam dari kiri) dan lain melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Mang.

KOTA SAMARAHAN, Feb 6: Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan pembelian sebanyak 4,000 khemah mudah alih bagi menampung kegunaan mangsa banjir di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira 1,000 khemah mudah alih telah disediakan untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir.

Menurut beliau, kesemua aspek logistik juga mencukupi dengan lori, bot serta peralatan lain untuk kemudahan mangsa-mangsa banjir.

“Bagi 4,000 khemah mudah alih kita luluskan untuk negeri ini, ia akan dihantar selewat-lewatnya minggu depan.

“Kita perlu menyediakan kemudahan yang mencukupi serta selesa untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Mang di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd Yusuf Wazir dan Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, ketika ini, pusat pemindahan banjir bukan hanya dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah ujarnya, dibantu agensi-agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain.

“Sementara itu, kelengkapan pelajar dan sekolah yang terjejas banjir juga akan diberikan peruntukan segera,” katanya lagi. — DayakDaily