1,220 kayu balak haram yang diikat seperti rakit disita

Kayu balak haram yang dipotong pendek dan diikat seperti rakit telah dirampas.

BINTULU, Feb 14: Hasil maklumat awam, Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekali lagi berjaya membongkar sindiket pembalakan haram dengan merampas kira-kira 1,220 batang balak pendek di Batang Kemena, Sebauh, semalam.

Kejayaan itu turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Jurucakap SFC berkata, sejurus menerima maklumat awam, sepasukan anggota penguatkuasa dari pejabat wilayah SFC Bintulu bersama PPM kemudian bergegas ke lokasi kejadian.


Katanya, sebaik tiba, pasukan terbabit menemui kira-kira 200 batang kayu balak yang telah dipotong pendek dan diikat seperti rakit diletakkan di tebing sungai tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan berhampiran kemudian menemui 1,020 batang kayu balak dari pelbagai jenis dan spesies (pokok).

“Balak itu juga dipotong pendek dan diikat seperti rakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama, pasukan penguatkuasa tersebut kemudian menyita kayu-kayu balak tersebut.

Katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana tidak terdapat pekerja pembalakan di situ dan mereka dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bintulu dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily