1,152 Pati ditangkap sejak Januari di Sarawak

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 16 Ogos: Seramai 1,152 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) telah ditangkap di negeri ini atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata berkata, mereka ini ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Manakala seramai 540 Pati yang cuba memasuki negeri Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan telah berjaya diusir.


“Tindakan pengusiran dibuat bagi membanteras kemasukan secara haram rakyat negara jiran (Pati) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dari luar Sarawak.

“Ini terutamanya varian Delta yang telah menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehjangkitan yang kian merebak pada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mancha, seramai 252 orang telah berjaya ditangkap disyaki menjadi dalang dalam penyeludupan migran ataupun dikenali sebagai “tekong darat” di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 172 individu telah dituduh di mahkamah manakala bakinya seramai 80 individu masih dalam proses melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut dibuat.

“Berdasarkan kepada situasi di atas, pihak polis masih mengesan pelbagai bentuk cubaan Pati untuk memasuki negeri Sarawak melalui jalan-jalan yang tidak diwartakan.

“Polis juga telah mengenal pasti individu atau kumpulan tertentu yang cuba menyeludup migran dan tindakan yang drastik akan diambil bagi mengekang aktiviti seumpama ini,” ujar beliau.

Jelas Mancha, polis Sarawak akan terus komited dalam usaha untuk memperkasakan serta memperketatkan kawalan keselamatan sempadan negeri.

“Ini khususnya di Daerah Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu yang disyaki mempunyai banyak laluan yang tidak diwartakan daripada dibolosi oleh sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, disamping mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. — DayakDaily