Lelaki maut dalam nahas di Jalan Kelai, Daro

DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

DARO,16 Ogos: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan kendiri di Jalan Kelai, di sini semalam.

Mangsa berusia 34 tahun bersebut berasal dari Kampung Semop.

Menurut Ketua Jabatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu,  semasa kejadian mangsa memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux sekitar jam 9.50 malam.


“Mangsa dari arah Kampung Semop hendak ke Kampung Kelai dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

“Kenderaan mangsa terbalik ke kiri jalan menyebabkan mangsa tersepit di bawah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan di kepala dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai.

“Mangsa seterusnya dibawa keluarganya ke Hospital Daro untuk mendapatkan rawatan.

“Namun setiba di pangkalan Feri Batang Lassa Daro, mangsa yang diserahkan kepada pihak ambulan Hospital Daro telah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Daro untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily