11 RAMD berkas tiga lelaki warga Indonesia di kawasan sempadan

Anggota tentera menahan tiga lelaki warga Indonesia di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.

LUNDU, Feb 13: Cubaan tiga lelaki warga Indonesia untuk keluar membawa pelbagai barangan tanpa dokumen sah berjaya dipatahkan oleh pasukan tentera dari Batalion Ke-Sebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) di kawasan ladang kelapa sawit Pak Langi di sini petang semalam.

Seorang jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, ketiga-tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, sebelum penahanan PATI itu, pasukan tentera telah melaksanakan serkap di laluan belakang ladang sawit tersebut iaitu kira-kira 200 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.


“Selepas dua jam melakukan operasi itu, pasukan tentera kemudian mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berjalan menggunakan laluan tikus di situ.

“Ketiga-tiga lelaki itu dikesan membawa pelbagai barangan dan sedang dalam perjalanan menuju ke arah kawasan sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan lanjut mendapati PATI tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga PATI itu berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.

“Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily