Angkara cemburu, lelaki disyaki bunuh isteri sebelum cuba bunuh diri

Keadaan mangsa dan suspek yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

BELAGA, Feb 12: Angkara cemburu, seorang suami dipercayai nekad membunuh isterinya dengan mengelar leher wanita itu dalam satu kejadian di Rumah Panjang Uma Balui Ukap, Sungai Asap, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa yang belum dikenalpasti identiti ditemui mati di ruang dapur rumah panjang berkenaan.

Menurut sumber, kejadian itu disedari oleh penghuni rumah panjang berkenaan apabila menemui pasangan suami isteri terbabit dalam keadaan berlumuran darah.


Katanya, penghuni rumah panjang berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebaik tiba, pihak polis mendapati wanita tersebut sudah tidak bernyawa lagi, manakala suspek berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber menambah, siasatan awal mendapati suspek disyaki mengelar leher isterinya sebelum bertindak membunuh diri dengan mengelar leher dirinya.

Katanya, suspek yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat motif kejadian tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily