Stering rosak, lori rempuh motosikal dan mengakibatkan seorang maut

Mangsa yang maut.

SARIKEI, Feb 13: Kerosakan stering lori yang dipandu seorang lelaki telah mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh sebuah motosikal di KM441, Jalan Betong-Sarikei di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Abu Bakar Sarbinee, 27, dari Kampung Tengah Maludam mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Sarikei pada pukul 11.54 pagi.

Katanya, pemandu lori berusia 58 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila stering lori yang dipandu oleh Sek Ing Chai dikatakan tiba-tiba tidak berfungsi.


“Ekoran itu, lori tersebut telah memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal yang ditunggang oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya, polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu. — DayakDaily