11 jenis barangan dalam senarai SHMMP Hari Gawai 2021

Kelihatan Nanta semasa sidang media pengumuman SHMMP Hari Gawai yang disiarkan secara langsung atas talian.

KUCHING, 24 Mei: Sebanyak 11 jenis barangan telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, skim berkuatkuasa pada 28 Mei 2021 hingga 3 Jun 2021 iaitu selama tujuh hari (empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas hari perayaan).

Katanya, kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam dan babi.

“Senarai barangan bagi SHMMP Hari Gawai 2021 adalah ayam hidup, ayam ‘standard’ (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam tua hidup, kepak ayam.

“Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

“Babi hidup dengan harga maksimum di peringkat ladang sahaja, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Nanta, KPDNHEP akan membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis yang berkaitan di Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan
peniaga patuh kepada SHMMP ini.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengguna boleh menyalurkan aduan berhubung ketidakpatuhan undang-undang kepada kementerian melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau pusat panggilan menerusi 1800 886 800.

Aduan juga boleh disalurkan melalui emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my), aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-8882 6245/ 6088, WhatsApp ke 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana 72 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara. — DayakDaily