Yakin harga tandan segar kelapa sawit dapat kekal RM540 setan

Willie (berdiri empat dari kiri) bersama pekebun kecil yang menerima sijil MSPO di Program Jom MSPO Negeri Sarawak di Dewan Rentap, Pulapol Kuching.

KUCHING, 3 Sept: Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi yakin akan dapat mengekalkan harga buah kelapa sawit di negara ini yang ketika ini dalam lingkungan RM540 setan bagi buah tandan segar (‘fresh fruit bunch’/FFB).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Willie Mongin yang berkata demikian mendedahkan harga komoditi itu ketika ini telah meningkat dengan satu lonjakan cukup besar kerana sebelum ini harganya menjunam sehingga mencecah RM260 setan bagi FFB.

“Minyak sawit mentah (‘crude palm oil’) pula sehingga RM2,880 setan (ketika ini). Dengan adanya program dan inisiatif biodiesel negara dan pembukaan pasaran-pasaran baharu, kita memang amat optimistik dan yakin sekurangnya dapat mengekalkan harga (buah kelapa sawit) yang kita nikmati sekarang,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Negeri Sarawak di Dewan Rentap, Pulapol Kuching, Jalan Puncak Borneo, di sini, hari ini.

Willie berkata kesungguhan kerajaan dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara pembeli minyak sawit dari Malaysia juga dijangka dapat membantu mengekalkan atau akan menambahbaik lagi harga komoditi tersebut selepas ini.

Sementara itu, mengenai MSPO, beliau berkata di peringkat kementerian itu, pihaknya tidak akan bersikap kejam atau enggan bertolak ansur dengan pekebun kecil di Sarawak yang masih ramai belum memperolehi persijilan itu.

Ini berikutan sebelum ini telah ditetapkan tarikh akhir bagi kalangan pekebun kecil memperolehi persijilan MSPO adalah 31 Disember 2019.

“Kita boleh berbincang dengan pekebun-pekebun kecil ini, mungkin mereka tidak boleh menepati syarat persijilan ini disebabkan kekangan tertentu,” katanya dan mendedahkan salah salah satu kekangan di Sarawak ialah status tanah.

Katanya antara syarat mendapat persijilan itu ialah tanah milik pekebun kecil terlibat mesti ada geran hak milik atau kelulusan dari kerajaan Sarawak menyatakan tanah mereka telah diwartakan untuk pertanian.

Willie berkata walaupun belum ada persijilan MSPO, pekebun kecil di negeri ini boleh terus menjual buah kelapa sawit mereka kepada peraih asalkan buah mereka mengikut gred kualiti yang boleh diterima di peringkat kilang.

“Namun, kita tidak mengalakkan (pekebun kecil) terus tiada persijilan MSPO, kerana kita ingin mengikut prosedur dan polisi supaya kita tidak dipersoalkan oleh negara-negara luar,” katanya.

Willie mendedahkan sehingga 28 Ogos lepas, seluas 5.04 juta hektar atau 85.45 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat persijilan MSPO.

Manakala di Sarawak, jumlah keluasan tanaman kelapa sawit yang diusahakan pekebun kecil persendirian ialah 202,016 hektar dan 50.14 peratus keluasan tanaman itu telah ada persijilan terbabit.

Kata Willie, keseluruhannya ada 452 kilang buah sawit di negara dan sebanyak 408 kilang terbabit sudah mendapat pensijilan MSPO atau 90.27 peratus manakala di Sarawak pula, dari keseluruhannya 81 kilang terbabit sebanyak 77 kilang itu sudah ada pensijilan MSPO atau 95 peratus. — DayakDaily