WWF-Malaysia perkenal Panda CLICK! di Song dan Baleh

Joseph (dua dari kanan) menyerahkan kamera kepada peserta Panda.

KUCHING, Ogos 17: Sebagai pendekatan yang inovatif di Sarawak, komuniti di Song dan Baleh diperkenalkan kepada Panda CLICK! salah satu cara usaha pemuliharaan yang interaktif.

Perkataan ‘Panda’ digunakan kerana perkataan ini sinonim dengan Tabung Alam Sedunia (WWF) yang menggunakan ‘Panda’ sebagai logonya manakala CLICK! pula merupakan akronim kepada program Communication Learning Towards Innovative Change atau Pembelajaran Komunikasi Ke Arah Perubahan Innovatif.

Panda CLICK! menggunakan kaedah komunikasi visual untuk mendokumentasi hal yang berkaitan dengan komuniti dan alam persekitaran mereka, dan kaedah ini telah digunakan secara meluas di Indonesia untuk mengalakkan perubahan positif dalam kalangan komuniti luar bandar.


WWF-Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, telah menganjurkan latihan fotografi Panda CLICK! pada Jun 21 hingga 23 lalu untuk kira-kira 20 penduduk kampung yang datang dari Rumah Peter, Song; Rumah Engsong, Nanga Kain dan Long Singut, Ulu Baleh.

Latihan seterusnya telah dijalankan pada Julai 31 dan Ogos 1 lepas untuk penduduk kampung dari Rumah Dagum, Song.

Residen Kapit, Joseph Belayong berkata, program itu merupakan platform yang baik untuk penduduk Kapit mendokumentasikan adat dan budaya mereka sebelum ianya luput ditelan zaman.

Katanya, ia juga dapat membantu penduduk kampung mendokumentasikan perubahan-perubahan yang mungkin akan berlaku kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar di kawasan Song dan Baleh terutamanya apabila pembinaan jalan di kawasan tersebut telah siap.

“Saya juga berharap agar Panda CLICK! dapat dipanjangkan kepada komuniti yang berada di Belaga,” katanya.

Selain memberikan kemahiran fotografi asas kepada peserta yang datang dari pelbagai umur, mereka juga belajar cara menulis cerita pendek berdasarkan gambar yang diambil.

WWF-Malaysia juga telah meminjamkan kamera kepada penduduk kampung selama enam bulan untuk mengekspresikan persepsi mereka terhadap kawasan persekitaran mereka.

Para peserta bergambar bersama dengan jurulatih dan penganjur selepas menamatkan kursus intensif selama tiga hari.

Gambar dan cerita yang dikumpulkan akan diterbitkan dalam buku dan diikuti dengan pameran foto untuk memaparkan kehidupan seharian penduduk di Kapit dan Song.

Program ini juga diadakan dengan harapan peserta dapat mengubah persepsi mereka terhadap alam sekitar dan juga sebagai salah satu cara memperkasakan komuniti menerusi fotografi.

Menerusi program ini juga, penduduk kampung dapat mendokumentasikan keistimewaan serta permasalahan yang dihadapi yang berkaitan dengan alam sekitar, landskap kepelbagaian flora dan fauna, sosio-ekonomi dan budaya.

Program ini merupakan sebahagian daripda projek Ekonomi Hijau dalam Heart of Borneo (HoB) dan disokong oleh Inisiatif Iklim Antarabangsa, Kementerian Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Bangunan dan Keselamatan Nuklear dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan Jerman. — DayakDaily