Polis tahan wanita tanam bayi di bawah rumah

Royal Malaysia Police logo

BINTULU, Ogos 17: Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang wanita yang menyembunyikan kelahiran bayi dan menanam anaknya yang didakwa telah meninggal dunia di bawah rumahnya akhir terbalas apabila wanita itu diberkas polis.

Wanita berusia 24 tahun itu ditahan selepas pihak hospital memaklumkan terdapat kes seorang ibu muda mengalami masalah darah yang keluar dengan banyak.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, bertindak hasil maklumat yang diterima, pihak polis kemudian menahan wanita berkenaan untuk siasatan lanjut.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan telah mengaku melahirkan anaknya tanpa pengetahuan orang lain.

“Wanita itu juga mendakwa bayinya tidak bernyawa semasa melahirkan anaknya sebelum dia bertindak menanam bayi malang itu di bawah kediamannya di sebuah kampung di sini,” katanya hari ini.

Zulkipli menambah, selepas menerima maklumat daripada suspek itu, pasukan polis kemudian bergegas ke tempat wanita berkenaan menanam bayinya.

Ujarnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan polis kemudian menggali semula tempat di mana wanita tersebut menanam bayinya.

“Operasi menggali semula itu berhasil apabila pasukan polis menemui jasad bayi berkenaan sebelum mengambil dan membawanya ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Wanita itu kini ditahan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya lagi. — DayakDaily