Filem Hantu Kak Limah raih kutipan RM13.6 juta

Filem 'Hantu Kak Limah' raih kutipan RM13.6 juta dalam minggu pertama tayangannya.

KUCHING, Ogos 17: Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold iaitu Hantu Kak Limah memecah rekod kutipan tayangan minggu pertama apabila memungut RM13.6 juta.

Ini sekali gus menjadikan filem arahan Mamat Khalid muncul sebagai filem box office nombor satu dengan kutipan tertinggi bagi filem tempatan untuk tahun 2018 setakat ini.

Filem ini masih ditayangkan di 146 pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.


Penerbit eksekutif, Datuk Khairul Anwar Salleh, Gayatri Su-lin dan TP Lim dengan rasa syukur mengucapkan terima kasih kepada penonton, rakan media dan pihak pawagam di atas sokongan padu yang diberikan kepada filem genre komedi seram ini.

“Diharapkan sokongan ini berterusan agar filem Hantu Kak Limah bertahan untuk minggu yang akan datang.

“Hantu Kak Limah membariskan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida,” kata Astro Shaw dalam satu kenyataan media hari ini.

Hantu Kak Limah ini merupakan sebuah filem komedi seram Malaysia 2018 arahan Mamat Khalid.

Ia merupakan kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) serta yang ketiga dalam trilogi Hantu Kak Limah.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Ogos 9 lepas. — DayakDaily