Willie: Proklamasi Darurat bukan senjata PN kekal berkuasa

Willie(tengah) pada Program Malaysia Prihatin di Dewan DBNA di Kuching hari ini.

KUCHING, 10 April: Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos 2021 bukan senjata bagi kerajaan sedia ada, Perikatan Nasional(PN) untuk kekal berkuasa, tegas MP Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan tohmahan dan persepsi negatif yang tidak bertanggunjawab yang ditanam oleh segelintir pihak berhubung proklamasi itu.

“Sebenarnya, ordinan darurat ini tidak boleh disalah anggap sebagai senjata kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan saya rasa di sebelah pembangkang pun tidak cukup jumlah, manakala di pihak kerajaan telah bertambah 3 (kerusi parlimen).


“Jadi, tiada persoalan sama ada mereka(PN) ini takut atau tidak, dan perdana menteri telah memberi komitmen yang begitu jelas bahawa apabila Covid-19 ini selesai nanti, beliau sendiri akan melakukan pembubaran parlimen dalam masa terdekat setelah keadaan telah reda dan mengizinkan,” katanya.

Willie berkata demikian pada sidang media selesai Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan DBNA di sini, hari ini.

Menurut beliau, ordinan darurat diisytiharkan untuk menangani krisis Covid-19 dan pada masa yang sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Katanya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan bukanlah membuta tuli tetapi diambil setelah menilai dan menimbang pilihan-pilihan terbaik hasil daripada kajian dan perkongsian data serta maklumat dengan negara-negara lain.

“Untuk maklumat, ahli-ahli jawatankuasa darurat ini juga termasuk dari pihak pembangkang dan mereka mempunyai platform untuk mengutarakan pandangan demi kebaikan negara.

“Maka ini bukanlah satu perkara yang dilihat sebagai senjata kerajaan untuk mengekalkan kedudukan,” ujar Willie.

Tambah beliau lagi, apabila pandemik Covid-19 sudah reda nanti, rakyat bolehlah memilih kerajaan yang mereka rasa yang terbaik.

Namun jelas beliau, negara ini perlukan sebuah kerajaan yang stabil supaya mampu menarik pelaburan luar.

“Selain menarik pelabur asing, kita juga perlu meningkatkan keluaran dalam negara kasar dan ia amat penting untuk Malaysia,” katanya.

Berhubung Program Malaysia Prihatin, beliau berkata ia adalah untuk mewar-warkan kepada seluruh rakyat mengenai kepekaan dan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19. — DayakDaily