Warga emas maut akibat dilanggar ketika berjoging di Tatau

Kelihatan motosikal yang melanggar mangsa.

TATAU, 16 Mei: Seorang warga emas meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat dilanggar sebuah motosikal ketika berjoging awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Kampung Dagang, di sini iaitu sekitar jam 5.20 pagi.

Mangsa berusia 59 tahun dan berasal dari Kedai Pasar Lama Tatau.


“Ketika kajadian, sebuah motosikal yang ditunggangi seorang guru sedang bergerak dari Pasar Lama Tatau menuju ke Masjid Tatau dan terlanggar mangsa yang sedang berjoging.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal dan mangsa masing-masing mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tatau oleh orang awam.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan Klinik Kesihatan Tatau semasa sedang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala penunggang motosikal yang parah kemudian dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily