Warga emas dirompak, suspek ditangkap polis sejam kemudian

Suspek (tiga dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Jan: Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang lelaki warga emas apabila bukan sahaja terpaksa tidur di kaki lima tepi bangunan Pusat Informasi Perlancongan di Jalan Padang setelah ketiadaan wang untuk membayar sewa bilik hotel, malah turut dirompak seorang lelaki bersenjatakan pisau sayur dalam kejadian malam Rabu.

Difahamkan mangsa hanya memiliki RM3 dalam simpanan dompetnya.


Mujur, mangsa yang berusia 64 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 malam itu.

Dalam kejadian, suspek telah merampas barangan milik mangsa seperti surat derma darah, sekeping surat Waran Rela, sebuah telefon bimbit jenama Nokia, sebuah beg sandang warna hitam, sebuah topi berwarna biru, tiga buku akaun bank dan wang tunai RM3.

Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis Pusat Miri susulan kejadian.

Bertindak dari laporan yang dibuat mangsa, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan menemukan sebilah pisau dapur berukuran 18 cm dari suspek.

Suspek ditahan kurang satu jam selepas kejadian samun itu dilaporkan, iaitu sekitar jam 11.10 malam di tepi Jalan South Yu Seng.

Turut ditemui beberap barangan milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. — DayakDaily