Polis Miri tahan empat suspek disyaki beli barangan curi

Kesemua keempat suspek ditahan untuk siasatan lanjut

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Mac: Padah membeli barangan curi, empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis pada Rabu dalam satu operasi di sini.

Penahanan keempat-empat suspek itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit jenis Redmi 6 yang dilaporkan telah hilang semasa insiden rompakan bersenjata di sebuah dobi layan diri di Jalan Pointsetia, Lutong Baru pada 13 Mac.


Kesemua suspek berusia antara 18, 26, 31 dan 32 tahun itu telah ditahan dibeberapa lokasi berasingan di sekitar Miri bermula jam 10.20 pagi sehingga 1.05 petang Rabu (18 Mac).

Difahamkan telefon bimbit tersebut telah dijual pada harga RM100 dan telah beberapa kali bertukar tangan sebelum kesemua suspek ditahan.

Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek yang juga kenalan kepada suspek utama kes rompakan dobi layan diri telah membeli telefon bimbit berkenaan pada harga RM100, dia kemudiannya telah menjual telefon tersebut kepada rakannya yang lain atas alasan amat memerlukan wang untuk membayar sewa biliknya.

Ketua polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 kanun Keseksaan. — DayakDaily