Warga asing hilang, dipercayai jatuh dari kapal di Sungai Lingga

Anggota Bomba mendapatkan maklumat berkaitan mangsa.
Advertisement

SRI AMAN, 19 April: Seorang lelaki warga asing dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari atas sebuah kapal di Sungai Lingga, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang berusia 21 tahun terbabit pada jam 3.15 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Advertisement

“Maklumat lokasi sebenar mangsa jatuh belum dapat dikenalpasti disebabkan kapal yang dinaiki mangsa telah berlabuh di lokasi lain.

“Bomba dan PDRM Lingga cuba mendapatkan maklumat daripada kapal lain yang berlabuh di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR mangsa ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung esok. — DayakDaily

Advertisement