Empat disyaki pengedar dadah ditangkap di Satok

Gambar tangkapan skrin daripada video kejadian yang tular di media sosial.

KUCHING, 20 April: Empat lelaki warga tempatan disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah berjaya ditangkap selepas gagal melarikan diri daripada pihak polis semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata keempat-empat suspek berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun semasa kejadian menaiki sebuah kereta Proton Wira di Jalan Satok sekitar jam 2.30 petang.

Katanya, anggota operasi dari BSJD, BSJND IPD Padawan bersama D9 IPK Sarawak bertindak menahan kereta tersebut untuk pemeriksaan.


“Semasa usaha menghentikan kenderaan tersebut, suspek telah bertindak melanggar tiga buah kereta orang awam dan kereta polis.

“Anggota pasukan berjaya bertindak menghentikan kenderaan suspek dan telah menangkap keempat-empat suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, pasukan operasi turut menemui satu paket lutsinar yang didalamnya berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Dianggarkan dadah jenis syabu tersebut seberat 103 gram dan turut dijumpai ialah pil disyaki Erimin 5 sebanyak 64 biji dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13,200,” katanya.

Jelasnya juga, kesemua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek dipercayai masih dalam pengaruh dadah semasa tangkapan dibuat,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abang Zainal turut memberitahu pihaknya tidak menolak kemungkinan keempat-empat suspek adalah kumpulan yang sama melarikan diri semasa cuba ditahan di Batu 4 Jalan Kuching-Serian pada 18 April.

“Dalam insiden tersebut, anggota polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan kiri, namun suspek masih cuba melarikan diri dan berjaya lolos.

“Bagaimanapun, kesemua suspek tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

Suspek dan barang kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat kes Narkotik IPD Kuching untuk siasatan lanjut. — DayakDaily