34 suspek diburu, disyaki terlibat kes tipu babitkan kerugian cecah RM2.3 juta

Ahsmon menunjukkan gambar-gambar suspek.

KUCHING, 19 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memburu 34 individu berhubung pelbagai kes jenayah komersial melibatkan kerugian mencecah RM2.3 juta sejak tahun 2006.

Ketua Polis Daerah ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media hari ini berkata kesemua suspek individu terbabit terdiri daripada 29 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 26 hingga 52 tahun.

Katanya, enam daripada suspek terbabit disyaki melakukan kesalahan pecah amanah yang disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Manakala 28 lagi disyaki terlibat kes Macau Scam, Love Scam, pembelian dalam talian, pinjaman tidak wujud, cek tendang, menjual tanah, menyalahgunakan nama persatuan untuk derma, pelaburan dan proses permohonan visa.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek-suspek boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.

Gambar-gambar dan maklumat suspek boleh diperolehi daripada laman Facebook “Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching” di pautan https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=295736919406745&id=100069113173985.

— DayakDaily