Wanita warga Indonesia ditemui mati, dipercayai dibunuh

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Serian.

SERIAN, Feb 9: Seorang surirumah warga Indonesia ditemui mati dipercayai akibat dibunuh di sebuah rumah di Kampung Bedup, Longgok di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 36 tahun ditemui mati oleh suaminya yang merupakan rakyat tempatan kira-kira pukul pukul 1.35 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suami mangsa yang berusia 35 tahun mendakwa telah menemui mayat isteri dia dalam keadaan lehernya dikelar.


Katanya, semasa kejadian, lelaki itu mendakwa dia tidak berada di rumah kerana ke sekolah untuk mengambil anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun.

“Dakwa lelaki itu, sejurus tiba di rumah mereka, dia telah menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah dengan ada kesan kelar di lehernya.

“Dia kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dev menambah, polis kemudian menahan suami mangsa untuk membantu siasatan lanjut.

Jelasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti pembunuh dan motif pembunuhan tersebut.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat,” katanya lagi. — DayakDaily