Wanita rugi RM72,000, dirompak di Batu Kawa

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong

KUCHING: Seorang surirumah mengalami kerugian mencecah RM72,000 apabila dirompak seorang lelaki di tempat letak kereta pasar raya e-Mart di Batu Kawa semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kejadian berlaku sekitar jam 4.25 petang, apabila wanita berusia 51 tahun terbabit selesai membeli belah di pasar raya berkenaan.

Lim memberitahu, mangsa kemudian pergi ke kenderaan miliknya jenis pacuan empat roda (4WD) yang dipakirkan tidak jauh dari pasar raya tersebut.


“Semasa mangsa memasuki kereta, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam kereta dan terus mengacukan pisau di pinggang mangsa.

“Lelaki terbabit kemudian memberitahu dalam bahasa Cina Mandarin, ‘saya mahu kereta sahaja, tidak mahu cederakan kamu’.

“Dia kemudian mengarahkan mangsa menghidupkan enjin dan selepas itu menolak mangsa keluar dari dalam kereta sehingga terjatuh di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian segera beredar dari lokasi kejadian dengan melarikan kereta mangsa.

“Mangsa hanya sempat menjerit meminta bantuan, namun suspek terus beredar dari lokasi kejadian dengan membawa bersama beg tangan serta telefon bimbit mangsa.

“Kejadian tersebut disedari oleh seorang saksi di tempat kejadian dan dia kemudian segera menghubungi polis untuk bantuan,” katanya.

Laporan polis berhubung kejadian kemudian dibuat oleh mangsa di balai polis berhampiran.

Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah dokumen peribadi, kad bank dan sejumlah wang tunai.

“Anggarkan keseluruhan kerugian adalah sekitar RM72,000 termasuk harga 4WD milik mangsa yang dilarikan suspek,” katanya.

Bagaimanapun, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Mangaa yang mengalami kecederaan di lutut kanan kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan,” katanya. — DayakDaily