Wanita PKR mahukan kerajaan beri bantuan tunai

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 26 Jun: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Kerajaan segera memberi bantuan tunai kepada golongan terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kenyataan hari ini, Wanita PKR berkata bantuan hendaklah bersifat menyeluruh dan berterusan, bukannya sekadar ‘one-off’ kepada semua rakyat.

Katanya, ini termasuk sektor yang terjejas akibat penutupan operasi perniagaan serta hilang sumber pendapatan mahupun pekerjaan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun 2021.


“Wanita PKR Sarawak berpendirian bahawa pemberian tunai kepada isi rumah yang terlibat ini perlu disegerakan berikutan keadaan sekatan tambahan dan kemelesetan ekonomi yang berlaku sekarang.

“Kita berharap Kerajaan Pusat dan Negeri segera memberikan pakej bantuan yang komprehensif berterusan dan menyeluruh khasnya kepada kelompok golongan B40, miskin bandar, peniaga kecil.

“Ini juga termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja bawahan dengan insentif subsidi gaji 60 peratus bagi menjamin kelangsungan industri dan sektor ekonomi golongan tidak bekerja seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan yang berada dalam sektor ekonomi tidak formal,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Wanita PKR menerima banyak aduan daripada rakyat berpendapatan rendah.

Ujarnya, aduan diterima khususnya dari mereka yang berasal dari pedalaman yang bekerja di kawasan bandar tercicir bakul makanan dan tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan Negeri. — DayakDaily